Friday 2 March 2012

10 Faktor Perniagaan Gagal


Banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar hanya beberapa tahun selepas dimulakan. Lebih buruk, ada perniagaan yang terpaksa ditutup hanya setelah beberapa bulan beroperasi.

Keadaan ini sudah menjadi kebiasaan dalam dunia perniagaan. Di mana-mana sahaja kita akan dapat melihat situasi ini. Perniagaan yang baru beroperasi tidak sepatutnya gulung tikar dalam masa yang singkat.

Di sini saya senaraikan sepuluh faktor yang menjadi punca kegagalan seseorang usahawan baru dalam perniagaan.

#1 – Tidak mempunyai pengalaman dan kelayakan

Tidak mustahil bagi seseorang usahawan yang tidak mempunyai sebarang pengalaman , atau kelayakan akademik dalam bidang berkaitan berjaya dalam perniagaan yang diceburi.

Namun tidak mustahil juga untuk usahawan yang tiada sebarang pengalaman, atau ilmu mengalami kerugian dalm perniagaan.

Terdapat banyak kursus atau seminar yang ditawarkan kepada usahawan untuk mendapatkan ilmu perniagaan, selain dari institut-institut pengajian atau kolej yang menawarkan pendidikan secara formal.

#2 – Tidak mempunyai skil dalam pengurusan

Kesilapan yang dilakukan ramai usahawan ketika ini ialah, mereka hanya tahu menguruskan belanjawan syarikat untuk mendapatkan stok atau produk.

Tetapi tidak mampu untuk menguruskan belanja tersebut supaya syarikat mempunyai simpanan dan wang pusingan modal yang mencukupi.

#3 – Tidak menggunakan bakat secara maksimum

Sesetengah usahawan adalah pakar dalam bidang masing-masing seperti jurureka dalaman (interior designer) atau jurufoto. Sebagai usahawan yang mempunyai bakat dan kepakaran tertentu, anda harus menggunakan segala bakat tersebut secara maksimum.

Ini bertujuan memastikan perniagaan yang anda jalankan mempunyai sentuhan anda sendiri, yang tentunya akan dicari oleh para pelanggan anda.

Bakat yang ada tidak harus disia-siakan.

#4 – Tidak bersedia bekerja lebih masa

Menjalankan perniagaan sendiri bukanlah seperti bekerja di pejabat dari pukul 8 pagi sehingga pukul 5 petang.

Menjalankan perniagaan bermakna anda harus bekerja hampir 24 jam sehari (atau mungkin lebih).

#5 – Tidak mendapat sokongan keluarga

Kebanyakan perniagaan yang berjaya mendapat sokongan dari keluarga.
Maklumkan mereka kenapa dan mengapa anda menjalankan perniagaan.

#6 – Tidak mempunyai modal permulaan yang mencukupi

Modal permulaan bukanlah bermakna modal yang anda perlu ada, hanya untuk memulakan perniagaan semata-mata.

Ia bermakna modal yang anda akan gunakan sekurang-kurangnya, sehingga anda mendapat kembali sepenuhnya modal tersebut.

Modal yang paling baik adalah modal yang dapat digunakan untuk menampung perniagaan anda, untuk sekurang-kurangnya setahun dari hari ia mula beroperasi.

Namun, ia berbeza-beza mengikut jenis bidang perniagaan anda.

#7 – Tiada networking

Dalam apa sahaja perniagaan yang diceburi, networking ialah perkara yang tidak boleh dipandang remeh.

Anda cuba bayangkan sekiranya anda langsung tiada atau tidak mahu menjalinkan sebarang hubungan (networking) dengan orang lain. Mungkin ada dikalangan jaringan hubungan anda akan menjadi pelanggan utama anda. Apa yang akan anda kehilangan?

Hanya melalui cara ini anda dapat mengembangkan perniagaan dengan baik, dan secara halus tanpa memaksa seseorang mendapatkan produk anda.

#8 – Tidak berusaha keras

Satu kerugian yang amat sangat sekiranya anda menjalankan perniagaan, tetapi anda tidak sanggup bekerja keras untuk perniagaan tersebut.

Sebagai usahawan, anda seharusnya seorang yang berdisiplin dan bermotivasi tinggi supaya anda mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

#9 – Tidak sanggup berhadapan krisis

Banyak dugaan yang perlu dihadapi oleh usahawan ketika menjalankan perniagaan.

Dugaan ketika berhadapan dengan pesaing, ketika mengalami kejatuhan keuntungan dan pelbagai lagi yang mungkin anda hadapi.

Anda perlu bijak menangani sebarang krisis yang timbul dalam menjalankan perniagaan.

#10 – Terlalu fokus pada produk

Ramai usahawan sebegini. Terlalu memfokuskan pada penghasilan dan jualan produk dan meminggirkan perkara penting yang perlu difokuskan.

Iaitu pemasaran dan khidmat pelanggan.

Pemasaran merupakan tonggak utama produk anda terjual, manakala khidmat pelanggan pula kunci utama supaya pelanggan yang membeli, atau mendapatkan servis anda menjadi pelanggan setia.

Sepuluh faktor yang disebutkan ada pada setiap individu tanpa disedari.

Kadang-kala kita melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

Sekiranya anda menyedari anda mempunyai sifat sebegitu, anda sudah mampu menanganinya supaya anda lebih berjaya dan menolak kegagalan dari perniagaan anda.

http://pakejniaga.com